GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ayusliza Azizan

LELAKI tempatan dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan di Jambatan Tiga Bagan Teochew, Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang, petang semalam.

Mangsa, Alex Tan, 18, dipercayai hilang pada jam 3 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima panggilan daripada Pasukan Polis Marin, Pulau Indah berkaitan kejadian itu.

“Aset telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pencarian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada jam 7 petang pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Abu Zaki berkata, mangsa sedang mandi dengan rakannya, Ng Shi Yuan, 19, sebelum dikatakan hilang.

Katanya, mangsa berpakaian seluar pendek hitam dan tidak berbaju.

Menurutnya, operasi SAR turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, namun mangsa masih tidak dijumpai.

Katanya, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 3 pagi dan diteruskan pada jam 8 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 9:11 PM