ANAK gajah yang tersesat memasuki kampung dan sekolah sebelum ditahan pegawai UTG PERHILITAN di Kampung Lintang, Sungai Siput, hari ini. FOTO ihsan PERHILITAN.
ANAK gajah yang tersesat memasuki kampung dan sekolah sebelum ditahan pegawai UTG PERHILITAN di Kampung Lintang, Sungai Siput, hari ini. FOTO ihsan PERHILITAN.
Muhammad Apendy Issahak


PENDUDUK Kampung Lintang, Sungai Siput, gempar apabila seekor anak gajah jantan dipercayai terpisah daripada kawanan tersesat ke kawasan kediaman penduduk dan memasuki kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lintang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7.20 pagi daripada seorang penduduk yang memaklumkan terdapat seekor anak gajah di belakang rumahnya.

“Polis ke lokasi kejadian dan mendapati anak gajah berkenaan sudah keluar daripada kawasan rumah terbabit dan lari menghala ke pekan Lintang.

“Gajah liar berkenaan memasuki kawasan Dewan Orang Ramai Kampung Lintang dan melalui hadapan Balai Polis Lintang serta memasuki kawasan hadapan SRK Lintang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anak gajah itu dihalau penduduk kampung sebelum lari menghala ke Sungai Siput dan masuk ke kawasan ladang yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari pekan Lintang.

Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kemudian berjaya mengesannya pada 10.20 pagi di kawasan ladang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PERHILITAN Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, operasi menangkap anak gajah terbabit dijalankan lapan pegawai dari Unit Tangkapan Gajah (UTG).

“Kami jabatan menerima aduan mengenai gajah itu pada 8 pagi dari Balai Polis Lintang dan sepasukan kakitangan UTG dan PERHILITAN Sungai Siput ke tempat kejadian serta mendapati memang ada anak gajah berkeliaran.

“Operasi tangkapan dilancarkan dan anak gajah itu ditangkap dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Wan Shaharuddin berkata, anak gajah dengan saiz tapak kaki berukuran kira-kira 18 sentimeter itu dianggarkan berusia tiga tahun dan seberat 200 kilogram.

Beliau berkata, anak gajah itu ditempatkan sementara di PERHILITAN Sungai Siput dan pihaknya menunggu lori daripada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk menghantarnya ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 7:33 PM