GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kalbana Perimbanayagam dan Hasbi Sidek


LELAKI yang bertindak agresif ketika cuba diperiksa polis ditembak pada kaki dan badan dalam kejadian di Batu 1, Jalan Air Hitam, Dengkil, Sepang, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, lelaki berkenaan dipercayai cuba menetak anggota polis menggunakan pisau pemotong daging.
Sumber berkata, anggota polis yang mendapat maklumat mengenai seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan, bergegas ke lokasi sebelum memperkenalkan diri dan cuba membuat pemeriksaan.

“Suspek bagaimanapun bertindak agresif dan mengacukan senjata selain bertindak menyerang anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Dengkil dengan melibas dan menetak anggota apabila cuba diperiksa dan ditenangkan.

“Anggota RCJ memberi amaran, namun tidak diendahkan menyebabkan dia terpaksa berundur kerana bimbang dicederakan selepas suspek terus menyerangnya.

“Berikutan itu, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan untuk melindungi keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota berkenaan melepaskan tiga das tembakan dan dua daripadanya terkena pada paha dan bahagian bawah rusuk suspek.

Katanya, suspek yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat dua kesan tembakan di bahagian paha kanan dan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 9:20 PM