ANIS Hazirah   Johan Petandingan Pidato JAPEN.
ANIS Hazirah Johan Petandingan Pidato JAPEN.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: “Saya pernah beberapa kali muncul juara pertandingan pidato, tetapi kemenangan kali ini paling bermakna kerana ia berkaitan dengan kenegaraan,” ujar Anis Hazirah Zakaria, 22, Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri 2018 di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGM KDRI), kelmarin.

Penuntut akhir Ijazah Sarjana Muda Perguruan Sejarah di IPGM KDRI itu mempersembahkan pidato bertajuk Masyarakat Penyayang dan Berbudi Bahasa Membentuk Negara Harmoni seterusnya mengenepikan lima peserta lain dari seluruh negeri dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan trofi.

Anis berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjadi johan pada pertandingan itu berikutan ia disertai pemidato yang berpengalaman dan pernah menjadi johan dalam pertandingan pidato sebelum ini.

“Saya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan teks ucapan berkaitan kenegaraan itu sebelum dipersembahkan pada pertandingan berkenaan.

“Kemenangan itu untuk bapa, Zakaria Wahab, 64, juga seorang pemidato yang juga bertanggungjawab membimbing dan memberi pendedahan kepada saya di peringkat awal.

“Saya bermula dengan pertandingan bercerita di peringkat sekolah rendah sebelum menyertai pertandingan berdebat di sekolah menengah dan apabila melanjutkan pengajian di universiti saya aktif dengan pertandingan pidato,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.

Beliau berkata, kemenangan itu juga ialah misi menebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas dan berada di tempat ke dua dalam pertandingan pidato itu.

“Saya berasa syukur kerana hasrat saya untuk menebus kekalahan tahun lalu akhirnya tercapai biarpun sebelum ini saya pernah memenangi beberapa pertandingan pidato lain namun kemenangan ini yang paling dibanggakan.

“Kemenangan itu membangkitkan semangat patriotik di dalam diri sejajar dengan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, dia akan mewakili negeri ke Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Sabah, September depan dan membuat persiapan sebaik mungkin untuk menyertai pertandingan itu.

“Biasanya saya membuat banyak rujukan bagi menyiapkan teks pidato sebelum diperiksa abang, Suhaimi Zakaria, 28, yang juga berpengalaman dalam pertandingan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAPEN Terengganu, Suwadi Guliling berkata, pertandingan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai isu semasa dan kefahaman masyarakat terutama golongan belia mengenai dasar kerajaan selain dapat memupuk, menyubur serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:45 AM