ZAINAB memasak lepok durian dalam periuk tembaga itu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ZAINAB memasak lepok durian dalam periuk tembaga itu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


MEMASAK lepok durian menggunakan kuali tembaga berusia 150 tahun antara rahsia keenakan makanan tradisi kegemaran ramai yang disediakan seorang warga emas dari Kampung Padang Landak, Jerteh.

Setiap tiba musim durian, lepok durian yang disediakan Zainab Awang, 68, itu sudah siap ditempah dan terjual sebanyak lima hingga 20 kilogram sehari.

Zainab berkata, dia mewarisi resipi dan kaedah pembuatan lepok durian itu daripada arwah ibu dan neneknya.

“Resipi membuat lepok tiada bezanya. Ia menggunakan isi durian, gula dan garam.

“Bagaimanapun yang menentukan ia sedap dan menepati cita rasa pelanggan bergantung kepada kaedah penyediaannya terutama ketika sesi mengacau dengan sukatan api yang bersesuaian.

“Istimewa lepok yang saya adunkan dimasak menggunakan kuali tembaga yang dianggarkan berusia 150 tahun itu," katanya ketika ditemui di gerainya di Pantai Batu Buruk, semalam.

Tambahnya, kuali tembaga yang diwarisi sejak turun-temurun itu memang khas hanya digunakan untuk membuat lepok.

“Penggunaan kuali tembaga itu banyak kelebihannya berbanding menggunakan kuali biasa kerana lepok masak dengan sekata dan tidak mudah hangit selain mudah dikacauberbanding penggunaan kuali biasa,” katanya.

Menurutnya, dia biasanya menyediakan lepok itu di rumahnya tetapi pada tahun ini mencipta kelainan dengan membuat dan menjualnya di Pantai Batu Buruk.

“Memandangkan anak, Mohd Nor Faisal Salimi, 34, menjual durian di Pantai Batu Buruk sejak Jun, saya menyertainya dengan menjual lepok.

“Saya sengaja membuat demonstrasi menyiapkan lepok di gerai itu kerana ingin memberi pendedahan kepada umum.

“Mungkin ramai yang menggemari kuih tradisional berasaskan durian 100 peratus itu tetapi tidak ramai yang mengetahui cara penyediaannya," katanya.

Anaknya, Rustam Salimi, 45, berkata, lepok yang disediakan ibunya itu biasanya ditempah awal oleh pelanggan bagi memastikan ia dapat disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

"Bagi menjamin rasa lepok itu sedap serta keaslian aroma duriannya, kami menggunakan durian kampung yang terpilih sebagai bahan mentah.

“Lepok itu dijual dengan harga RM40 sekilogram selain dipek di dalam bekas plastik dengan harga RM10 sebekas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:16 AM