BUMBUNG rumah penduduk di Banggol Permai rosak selepas dilanda ribut dan hujat lebat di sekitar Chukai, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
BUMBUNG rumah penduduk di Banggol Permai rosak selepas dilanda ribut dan hujat lebat di sekitar Chukai, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


RIBUT sertai hujan lebat menyebabkan 154 rumah rosak di beberapa kampung di sekitar Chukai, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, antara kampung paling banyak kerosakan rumah adalah di Kampung Banggol Permai (56 rumah),Taman Fikri (37) dan 25 rumah di Paya Berenjut.

Kawasan lain termasuk Kampung Fikri (8), Dusun Nyior (4), Bakau Tinggi (4), Kuala Kemaman (8), Banggol Indah (6), Geliga Pantai (3), Taman Perwaja (2) dan sebuah rumah di Jabur Kubur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kebanyakan rumah rosak pada bahagian bumbung dan dinding akibat diterbangkan angin.

Beliau berkata, dua kereta milik penduduk di Taman Perwaja turut mengalami kerosakan akibat ditimpa kayu dan atap rumah.

“Berikutan kejadian itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan kerja membaiki kerosakan terbabit.

“Kami menggunakan peruntukan termasuk sumbangan daripada syarikat anak kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerja membaiki kerosakan rumah penduduk itu sedang giat dilakukan dan setakat 6.30 petang hari ini, hampir 70 peratus rumah telah siap dibaiki.

“Lapan rumah dikenal pasti paling banyak mengalami kerosakan dan akan mengambil masa selama empat hari untuk disiapkan.

“Manakala rumah lain yang mengalami kerosakan kita jangka akan dapat disiapkan sepenuhnya esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 7:52 PM