EUSUF  menghidap LGS  bakal jalani pembedahan pada September depan. Gambar kecil, kemeja-T #SenyumanEusuf.
EUSUF menghidap LGS bakal jalani pembedahan pada September depan. Gambar kecil, kemeja-T #SenyumanEusuf.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Jual kemeja-T bagi mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan rawatan Eusuf Mohammad Idzfan, 3, yang dianggarkan berjumlah RM130,000.

Itu antara usaha dilaksanakan keluarga kanak-kanak yang menghidap Sindrom Lennox Gestaut (LGS) bagi mencukupkan dana untuk membeli Alat Penstabilan Gelombang Otak (VNS) termasuk kos pemasangan implan yang diperlukan sebelum pembedahan dibuat pada 20 September depan.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Djasriza Jasin, 41, berkata, penjualan kemeja-T terbabit dilancarkan minggu lalu untuk orang ramai yang ingin membantu keluarganya.

“Penjualan kemeja-T yang bercetak #SenyumanEusuf diuruskan keluarga terdekat iaitu sepupu saya, Siti Azlina Abdullah, 32, sebagai inisiatif untuk mengumpul dana.

“Orang ramai yang ingin membantu menerusi pembelian baju terbabit boleh berhubung dengan Siti Azlina untuk maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Siti Azlina berkata, kemeja-T itu ada tiga kategori iaitu baju lengan pendek, baju lengan panjang dan baju saiz kanak-kanak yang dijual pada harga RM25 hingga RM33.

“Bagi sehelai baju yang dibeli, mereka dapat menyumbang RM15 kepada Eusuf selepas ditolak modal baju dan juga cetakan.

“Hingga kini hampir 100 baju dijual, malah ada antara pelanggan berhubung dengan kami hanya mahu menyampaikan sumbangan saja dan tidak mengambil kemeja-T terbabit.

“Bagi mereka yang ingin membantu Eusuf dengan mendapatkan baju #SenyumanEusuf boleh menghubungi kami menerusi talian 017-4032977 atau terus melayari Facebook (FB) BajuQu untuk maklumat lanjut,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank, 512352054134 atas nama Djasriza atau Bank Muamalat milik Eusof, 16010009377728.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 4:13 AM