RUMAH yang terbakar di Jalan SG 2/5, Taman Sri Gombak. Foto NSTP/IHSAN BOMBA
RUMAH yang terbakar di Jalan SG 2/5, Taman Sri Gombak. Foto NSTP/IHSAN BOMBA
Teoh Pei Ying dan Hasbi Sidek


LELAKI maut selepas terjun dari tingkat satu rumah terbakar di Jalan SG 2/5, Taman Sri Gombak, Gombak, hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, mangsa, Ahmad Zabidi Abdul Kashid, 67, maut selepas cuba menyelamatkan diri dari kebakaran di rumah itu.

Kejadian turut menyebabkan anak lelakinya berusia 30-an melecur pada bahu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.20 pagi berhubung kejadian itu.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dibantu BBP Rawang, Kepong, Gombak dan Bangi bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan 70 peratus tingkat atas kediaman berkenaan. Seorang mangsa melecur pada bahu, manakala seorang lagi mangsa berusia 67 tahun meninggal dunia akibat terjun ketika mahu menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dan punca kematian disiasat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 7:38 AM