Fahmy Azril Rosli

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dalam proses menyiasat penyelewengan dan mengenal pasti individu terbabit dalam pemberian rundingan secara terus tanpa melalui tender terbuka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata, siasatan awal mendapati banyak kontrak tidak melalui tender terbuka, termasuk perkhidmatan rundingan dan pembinaan infrastruktur.

Katanya, banyak projek penganjuran Sukan SEA yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah tahun lalu, juga tidak mengamalkan tender terbuka.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kos sebenar yang terbabit.

“Daripada jumlah perolehan RM777.14 juta antara 2016 sehingga 2018, sejumlah 46 peratus atau RM357.80 juta dilaksanakan tanpa melalui tender terbuka, sebaliknya menerusi rundingan terus dan tender terhad.

“Hasil pemantauan di KBS, kita dapati banyak ruang dan potensi penambahbaikan di peringkat pengurusan serta pentadbiran perlu dilakukan.

“Selepas pegawai KBS ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penyelewengan wang kementerian berjumlah RM100 juta pada 2016, tiada pembaharuan dilakukan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Malah, Sim berkata, pembayaran melalui proses tender terbuka belum dilaksanakan turut berlaku, selain pelaksanaan perolehan tanpa tender terbuka.

Persembahan bunga api ketika acara penutup Sukan SEA 2017 di Stadium Bukit Jalil. (Gambar kecil) Sim pada sidang media di Parlimen. FOTO Luqman Hakim Zubir
Persembahan bunga api ketika acara penutup Sukan SEA 2017 di Stadium Bukit Jalil. (Gambar kecil) Sim pada sidang media di Parlimen. FOTO Luqman Hakim Zubir

Pada 2017, katanya, perolehan tanpa tender terbuka mencecah RM264.2 juta, melebihi perolehan melalui tender terbuka iaitu RM173.7 juta.

“Tindakan segera akan diambil, seiring kehendak dan hasrat kerajaan baharu mencegah penyelewengan dan kepincangan.

“Ini bukan membalas dendam, sebaliknya usaha baik pulih pentadbiran kementerian.

“Tender yang sedang berlangsung melalui rundingan terbuka membabitkan nilaibesar juga dinilai semula manakala laporannya akan diumum secepat mungkin,” katanya.

Susulan perkembangan itu, KBS berada di kedudukan kelapan daripada 25 kementerian bagi tahap perlakuan rasuah, berdasarkan Public Service Corruption Ranking (PSCR) dikeluarkan SPRM.

Sim berkata, KBS adalah kementerian mendapat peruntukan paling rendah menerusi bajet Kerajaan Persekutuan.

“Segala kepincangan dan kebocoran yang berlaku menyebabkan sumber yang sememangnya terhad tidak dapat digunakan pada kadar maksimum bagi tujuan pembangunan belia dan sukan,” katanya.

Difahamkan, pihak KBS sudah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tender secara rundingan terus dan dinasihatkan untuk menjalankan audit forensik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:51 PM