MAYAT mangsa ditemui dalam parit dengan leher terjerut di Kampung Serpan Ulu, Asajaya, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT mangsa ditemui dalam parit dengan leher terjerut di Kampung Serpan Ulu, Asajaya, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TERTEKAN anaknya masih menerima rawatan akibat kemalangan dipercayai menjadi punca seorang nelayan membunuh diri di Kampung Serpan Ulu, Asajaya, hari ini.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditemui penduduk di dalam parit dengan leher terjerut pada jam 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, sejurus menerima maklumat penemuan mayat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Asajaya dihantar ke lokasi.

Menurutnya, lelaki terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap dengan lehernya dijerut seutas wayar.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.

“Lelaki terbabit dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas anaknya masih belum pulih akibat kemalangan.

“Anaknya sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak,” katanya, hari ini.

Menurutnya, susulan keadaan anaknya, mangsa turut didakwa mengamuk beberapa kali di rumah.

Katanya, hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Bedah siasat di Unit Forensik HUS mengesahkan lelaki terbabit mati akibat jerutan pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 8:33 PM