GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Ishak


POLIS menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelancong asing di Pulau Perhentian, Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, lelaki tempatan itu yang bekerja di sebuah kafe di pulau itu ditangkap selepas menerima maklumat orang ramai berhubung kes rogol seorang pelancong asing.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 11 Julai lalu dipercayai berlaku apabila mangsa seorang wanita warga Belanda berusia 22 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika berkhemah di pantai berhampiran kincir angin di Pulau Perhentian Kecil.

Katanya, dua lelaki berkenaan kemudian dikatakan bertindak menarik mangsa keluar daripada khemah.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak mengikat tangan mangsa dan merogolnya sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Aidi berkata, selepas kejadian mangsa turut mendapati barangan miliknya termasuk telefon bimbit, wang tunai RM250 dan sebuah dompet kulit hilang.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek menafikan pembabitan mereka dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai program gotong-royong bersama komuniti di Pulau Perhentian, semalam.

Kira-kira 60 pegawai dan anggota polis termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing menyertai gotong royong membersihkan pantai berkenaan.

Aidi berkata, suspek terbabit direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Kita juga akan mendapatkan sampel darah suspek untuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:00 PM