FOTO arkib NSTP
FOTO arkib NSTP
Rohaniza Idris


KERAJAAN memberi jaminan bekalan ternakan hidup untuk Aidiladha mencukupi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil tindakan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan bekalan tidak mengalami masalah.

“Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sebanyak 6,292 masjid dan 18,101 surau akan mengadakan ibadah korban dan mereka memerlukan sebanyak 44,673 lembu dan 22,130 kambing atau biri-biri.

“Berdasarkan jumlah ternakan dalam negara sekarang, kita sudah menyediakan 50,125 ekor lembu dan 31,079 kambing.

"Saya beri jaminan bekalan cukup, jangan bimbang. Saya tahu ada kebimbangan selepas Australia menggantung eksport ternakan ke Malaysia selain keadaan banjir di Thailand menyebabkan bekalan berkurangan” katanya menjawab soalan Dr Hasan Bahrom (PH Tampin) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasan dalam soalannya ingin mengetahui usaha dijalankan kementerian itu bagi memastikan bekalan ternakan hidup mencukupi untuk Aidiladha.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-PKR Permatang Pauh) mengenai langkah kementerian itu mahu menyambung semula projek National Feedlot Corporation (NFC) kerana imej projek itu sudah tercemar, Salahuddin berkata, NFC adalah langkah produktif bagi membolehkan bekalan daging tempatan mencapai tahap 30 peratus.

"Kalau kita ungkap balik sejarah NFC, kita tak akan pergi ke mana-mana, sebaliknya kita mesti melihat ke hadapan dan membangun dengan bertanggungjawab," katanya.

Justeru, katanya projek itu diteruskan dan setakat ini ada kira-kira 7,000 lembu sedang diusahakan selain taman kekal keluaran prominen sedang diperkasakan.

Beliau menjelaskan kementerian itu mengelola program penternakan lembu integrasi yang diusahakan di 72 ladang kelapa sawit dengan luas keseluruhan 1.4 juta hektar.

"Kita boleh menternak hampir 400,000 ekor lembu. Ini ialah pelan jangka sederhana dan panjang yang kerajaan usahakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 3:01 PM