Wah Sahara  (tengah) bersama Bah Kamran (kiri) dan  Tanhosg pada  Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018.
Wah Sahara (tengah) bersama Bah Kamran (kiri) dan Tanhosg pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018.
Baharom Bakar

Marang: “Saya bangga menjadi Orang Asli pertama dari Selangor bertugas sebagai anggota bomba dan penyelamat,” kata Wah Sahara Bah Long, 19, dari Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Sat, Selangor.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berazam untuk bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjelajah ke setiap perkampungan Orang Asli di seluruh negara bagi membakar semangat golongan itu menyertai pasukan beruniform berkenaan.

Wah Sahara berkata, punca utama menyebabkan golongan belia dan beliawanis masyarakat Orang Asli kurang berminat menyertai pasukan bomba disebabkan mereka tidak didedahkan dengan bidang tugas serta peranan dalam pasukan itu.

Dia berkata, belia dan beliawanis mendakwa kerja sebagai anggota pasukan bomba teruk dan memenatkan terutama ketika menyertai latihan selama enam bulan.

“Saya akui dalam tempoh sebulan latihan memenatkan, terutama ketika sesi kawad dan perbarisan, tetapi dorongan serta semangat rakan dan jurulatih menyebabkan kerjaya ini cukup menggembirakan.

“Saya bertekad dan berazam membantu Bahagian Perjawatan dan Sumber Manusia JBPM turun padang terutama ke perkampungan Orang Asli di seluruh negara untuk memberi semangat dan dorongan mereka menyertai pasukan,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai di sini, semalam.

Majlis perasmian dilakukan Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Udara JBPM Mohd Yunus Abu Hassan, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Sobberi Basiran dan Timbalan Pengarah JBPM Terengganu Sharikan Bustaman.

Wah Sahara yang turut ditemani abangnya, Bah Kamran, 25, dan sepupunya, Tanhosg Ban Agem, 28, yang juga anggota bomba dan bertugas di Balai Bomba Damansara berkata, latihan lasak terutama mendaki bukit serta gunung, selain latihan menyelamat di air paling menyeronokkan.

“Saya berpendapat jika belia dan beliawanis masyarakat Orang Asli diberi penjelasan secukupnya mengenai cabaran dan kerjaya sebagai anggota bomba, lebih ramai yang menyertai pasukan ini kerana mereka sudah biasa dengan aktiviti lasak termasuk berjalan di dalam hutan,” katanya yang turut terpilih menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:55 AM