MYOUNG (kanan) membaca sajak dan berkongsi ilmu kesusasteraan bersama sebahagian penyair dan peserta di Program Apresiasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sempena Konvensyen Penyair Dunia (KONPEN) 2018 di UMK Kampus Bachok, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias
MYOUNG (kanan) membaca sajak dan berkongsi ilmu kesusasteraan bersama sebahagian penyair dan peserta di Program Apresiasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sempena Konvensyen Penyair Dunia (KONPEN) 2018 di UMK Kampus Bachok, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


KEMUNCULAN 'awek' Korea Selatan yang juga penyair, Dr Kang Myoung Sook menceriakan program Apresiasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, hari ini.

Myoung Sook antara 250 penyair yang menyertai Konvensyen Penyair Dunia (KONPEN) 2018 hadir ke UMK bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang kesusasteraan bersama hampir 100 pelajar sastera UMK dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat.

Hadir dengan pakej wajah persis pelakon popular Korea, Song Hyekyo tidak sukar bagi Myoung menarik perhatian pelajar untuk belajar berpuisi dan menimba ilmu kesusasteraan terutama bidang terjemahan yang menjadi kepakaran beliau sejak 16 tahun lalu.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan dan Penyelaras Bahasa Asing serta Tempatan di Universiti Malaysia Sabah menyampaikan beberapa sajak bertajuk Cinta dan Ibu bapa yang dicipta sendiri selepas mempelajari bahasa Malaysia sejak 2001.

Katanya, membaca sajak dan puisi sebenarnya bukan sesuatu yang asing di Korea Selatan kerana seni budaya itu juga antara bidang kesusasteraan yang hebat di negaranya yang turut popular dengan drama dan artis K-pop.

“Puisi dan sastera Korea tidak jauh berbeza dengan Malaysia, malah cara penyampaian dan susun katanya juga hampir sama iaitu kami meluahkan perasaan melalui perlakuan serta pertuturan puitis,” katanya ketika ditemui di Kampung Kebudayaan UMK Kampus Bachok, hari ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan dan Penyelaras KONPEN 2018 UMK Dr Nordiana Ab Jabar.

Selain Myoung dari Korea Selatan, KONPEN 2018 turut disertai penyair luar negara lain seperti Fitriani Um Salva (Indonesia), Stefano Romano (Itali), Pak Rossem (Malaysia) dan ramai lagi.

Sementara itu, Nordiana berkata, pihaknya teruja bertemu penyair-penyair dari luar negara yang memberi pendedahan secara langsung dunia kesusasteraan kepada pelajar sastera UMK.

“Di tahun hadapan kami juga berhasrat mahu menerbitkan sajak pelajar FTKW UMK dalam bentuk antologi yang kini sudah bermula proses pengumpulan sejak awal tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 5:36 PM