ABDUL Aziz berpuas hati dengan penjelasan MRSM Taiping. -Foto L MANIMARAN
ABDUL Aziz berpuas hati dengan penjelasan MRSM Taiping. -Foto L MANIMARAN
Farah Suhaidah Othman


PIHAK pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang tidak membenarkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan Perak, Dr Abdul Aziz Bari melawat maktab berkenaan Isnin lalu sudah memohon maaf berhubung perkara itu.

Abdul Aziz berkata, mereka juga sudah menjelaskan perkara sebenar yang berlaku dan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan diberikan.

Menurutnya, susulan itu pihaknya bercadang sekali lagi melawat MRSM berkenaan susulan 31 pelajar mengalami keracunan makanan selepas mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah pada Rabu lalu.

“Pihak pengurusan MRSM Taiping datang ke pejabat saya Selasa lalu dan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

“Itu masalah kecil sebenarnya dan berlaku salah faham dan saya tidak menyalahkan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutup Sketsa Rukun Negara peringkat negeri 2018 di Auditorium Komples Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menerima panggilan telefon daripada Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri yang memohon maaf terhadap kekeliruan itu dan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

“Kita bukan mahu tunjuk kuasa namun kita terpaksa menjawab bagi masyarakat, walau sekolah apa pun apabila membabitkan pendidikan, kerajaan negeri terutama EXCO Pendidikan yang menyebabkan saya cuba melawat tempat berkenaan.

“Walaupun saya tahu (MRSM Taiping) di bawah bidang kuasa Persekutuan tetapi mereka (perlu) faham dan tidak timbul soal pertindihan kuasa, konflik dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan negeri berhubung kes keracunan membabitkan 31 pelajar maktab berkenaan.

Terdahulu, Abdul Aziz menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri 2018 yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Puteh.

Tempat kedua diraih peserta SMK Hutan Melintang manakala tempat ketiga dirangkul pelajar SMK Tun Saban, daerah Pengkalan Hulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 7:51 PM