MASZLEE (kiri) mendengar kisah A Samad ketika berkunjung ke rumah Sasterawan Negara itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, hari ini.
MASZLEE (kiri) mendengar kisah A Samad ketika berkunjung ke rumah Sasterawan Negara itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, hari ini.
Saadiah Ismail dan Suzana Pillay


KEMENTERIAN Pendidikan memberi jaminan nasib semua Sasterawan Negara yang tidak dibela oleh kerajaan terdahulu akan diberi perhatian sepenuhnya.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, kedudukan dan sumbangan mereka sebelum ini dilupakan hanya disebabkan oleh kelantangan tokoh berkenaan atau mempunyai fahaman politik berbeza.

“Saya juga akan membawa Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said kembali ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mempromosi karya-karya agungnya untuk dijadikan sebagai bahan bacaan generasi muda," katanya ketika berkunjung ke rumah tokoh berkenaan di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Maszlee berkunjung ke rumah tokoh berkenaan untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan serta kesihatan sasterawan terbabit.

Sementara itu, A Samad, berkata kedatangan Maszlee dianggap sebagai satu usaha baik untuk melihat kembali hasil karyanya dicetak semula bagi generasi muda masa kini.

Katanya, DBP adalah institusi yang tepat bagi mengambil berat hasil karya dan buku-buku Sasterawan Negara lain untuk diulang cetak.

“Saya sendiri sudah beberapa tahun tidak didatangi oleh DBP, mungkin kerana saya daripada parti yang berbeza. Pada saya, ini sesuatu yang tidak bagus.

“Hanya disebabkan saya berhaluan kiri sebelum ini, hasil karya dipinggirkan dan ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak sihat pada gambaran masyarakat,” katanya.

Katanya, sastera adalah neutral dan perlu diberi perhatian kerana ia ‘menangkap’ apa sahaja yang bergerak di dalam masyarakat.

“Sastera ini boleh berbicara dalam pelbagai sudut tanpa mengira daripada pihak pemerintah atau pembangkang.

“Justeru kita harus memulakan semula sikap baharu bahawa sastera adalah sesuatu yang neutral kerana ia adalah suara hati nurani rakyat bangsanya,” katanya.

Katanya, mana-mana Sasterawan Negara harus dilayani dengan baik dan patut diberi perhatian tanpa mengira sikap serta ideologi mereka.

“Jika diperlakukan sebaliknya, ia menjadikan sastera itu tidak bebas sedangkan sastera bebas merakam apa saja,” katanya.

Beliau kini sedang menyiapkan 200 puisi Bersih dan 40 puisi antalogi hasil lawatannya ke China yang akan diterbitkan, tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:36 PM