JAGDEEP Singh (tengah) tengah) menunjukkan naskah Manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kepada Rozali (dua dari kanan) sambil diperhatikan Yew (dua dari kiri) pada sidang media di KOMTAR, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
JAGDEEP Singh (tengah) tengah) menunjukkan naskah Manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kepada Rozali (dua dari kanan) sambil diperhatikan Yew (dua dari kiri) pada sidang media di KOMTAR, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


SEBANYAK 211 lagi kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di bahagian pulau bagi mencapai sasaran 1,000 CCTV di Pulau Pinang.

Ia antara usaha bagi merealisasikan hala tuju Kerajaan Negeri ke arah bandar raya lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga kini Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sudah memasang 130 unit di sekitar tiga daerah Seberang Perai.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula sudah memasang 550 unit CCTV menjadikan jumlah kedua-duanya ialah 680 unit.

“Jumlah (550) itu akan ditingkatkan kepada 761 unit di bahagian pulau pada akhir Julai ini dan pada Mei 2019, jumlah berkenaan akan ditambah lagi sebanyak 150 unit.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan 1,041 unit di negeri ini dan kita masih mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai di MPSP bagi penambahan CCTV,” katanya.

Jagdeep ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Yang Dipertua MPSP Datuk Rozali Mohamud dan Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, hari ini.

Dalam perkembangan lanjut, Jagdeep berkata, pemasangan CCTV di beberapa kawasan mampu mengesan dan mengambil tindakan terhadap beberapa kes semasa.

Beliau berkata, sepanjang 2017, sebanyak 107 kes kerosakan lampu jalan dikesan, kemalangan (82), pembuangan sampah haram (581) dan halangan (31,295) yang menyaksikan 156 kes dikenakan kapit roda dan tunda (55).

“Bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini, 23 kes kerosakan lampu jalan dikesan, kemalangan (43), pembuangan sampah haram (172) dan halangan (16,012) membabitkan 289 kes dikenakan kapit roda dan tunda (39).

“Kami belum mengesan kes kecurian bagi tempoh itu dan ia secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan pemasangan CCTV di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, CCTV yang dipasang itu dilengkapi dengan pembesar suara, sekali gus pengumuman kecemasan boleh dibuat dari pusat kawalan bagi menasihati pemandu supaya mengalihkan kenderaan yang mengganggu atau menghalang lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:58 PM