Irwan Shafrizan Ismail


BEKAS pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak, dibebaskan hari ini.

Majistret Chyfica Mohamed Zamrimembenarkan individu bergelar Datuk berusia 44 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM16,000 oleh seorang penjamin.

Dia yang turut berkhidmat kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini direman enam hari bermula Selasa lalu.

Terdahulu bekas pegawai khas itu tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 10.15 pagi diringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, mengesahkan mengenai penahanan individu berkenaan pada Isnin lalu.

“Dia ditahan selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menerima wang dari sebuah syarikat yang dianugerahkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak” katanya.

Berdasarkan sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Berita berkaitan:

Lanjut tahanan reman [METROTV]

Bekas pegawai khas Najib direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 11:59 AM