MUHAMMAD Hairi  menyusun buah naga di pusat pengumpulan  di Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek.
MUHAMMAD Hairi menyusun buah naga di pusat pengumpulan di Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek.
Ayusliza Azizan

Sepang: Ketika ramai peniaga sibuk menjual durian berikutan permintaan tinggi, seorang pemuda bagaimanapun memilih buah naga sebagai sumber pendapatannya.

Muhammad Hairi Mohd Angsar, 24, berkata, dia menceburkan diri dalam perniagaan itu sejak April lalu selepas ditawarkan pemilik ladang buah berkenaan pada harga borong.

“Pada awalnya, saya hanya menjual buah naga di pejabat ayah dan ia mendapat sambutan sebelum mempromosikannya di laman sosial Facebook (FB).

“Saya tidak sangka ramai juga peminat buah itu selepas mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

“Buah naga yang dijual dalam bakul (borong) berharga RM170 hingga RM180 dengan jumlah 150 biji manakala RM10 bagi enam atau tujuh buah gred B,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu kini memiliki pusat pengumpulan buah naga yang dibina berdekatan kediamannya di Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek di sini.

Menurutnya, buah naga dijual pada harga berbeza mengikut gred dari A hingga E.

MUHAMMAD Hairi   diibantu  Siti Fateah  menyusun  buah naga ke dalam bakul.
MUHAMMAD Hairi diibantu Siti Fateah menyusun buah naga ke dalam bakul.

“Buah ini popular sebagai anti-kanser selain keenakan rasanya namun ramai takut membelinya kerana harganya agak mahal.

“Saya mahu mempromosikan buah naga di sekitar Lembah Klang pada harga berpatutan,” katanya yang turut menerima tempahan dari Klang, Shah Alam, Banting dan Nilai, Negeri Sembilan.

Muhammad Hairi yang turut dibantu isteri, Siti Fateah Kamarunzaman, 26, berkata, dia bersyukur kerana mampu meraih pendapatan RM3,000 seminggu berbanding kerjanya sebagai tukang paip sebelum ini.

“Saya juga mampu meneruskan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Kini, saya mencari lebih ramai ejen yang berminat sebagai pembekal dan penjual buah naga di kawasan masing-masing berikutan bekalan buah yang banyak dan tidak mampu untuk bergerak ke banyak tempat dalam satu-satu masa,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

JUS buah naga.
JUS buah naga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 9:44 AM