Tuan Asri Tuan Hussein

JARAK hotel penginapan yang cuma 100 hingga 300 meter dengan dataran Masjid Nabawi diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya jemaah haji Malaysia untuk sentiasa menunaikan solat berjemaah serta beriktikaf di masjid itu yang pahala beribadat di dalamnya, digandakan 1,000 kali ganda.

Daripada sembilan bangunan penginapan untuk jemaah haji Malaysia, hotel Movenpick, Al-Haram dan Al-Saha paling dekat dengan dataran Masjid Nabawi dengan jarak cuma 100 meter.

"Jadi, amat rugilah jika jemaah kita tidak solat lima waktu dan banyak beriktikaf di Masjid Nabawi apabila mereka berada di kota Madinah ini," kata Pengarah Operasi Tabung Haji (TH) Madinah, Affandi Abdullah.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika meninjau persiapan akhir bilik penginapan di hotel Al-Haram di Madinah, malam tadi, tidak sampai 48 jam sebelum ketibaan kumpulan pertama esok.

Kumpulan pertama itu membabitkan 483 jemaah dijadualkan tiba dengan pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada 10 pagi waktu tempatan.

Menurut Affandi, keseluruhannya TH menyediakan sembilan bangunan penginapan jemaah haji (BPJH) membabitkan sembilan hotel yang dibahagikan kepada tiga zon pengurusan.

Zon satu membabitkan hotel Al-Haram, Al-Saha dan Shaza, zon dua menempatkan Movenpick, Shaza dan Ramada manakala Rowadha Al-Aqiq, Hayah Golden dan Hayah Silver pula berada di dalam zon tiga.

Semua hotel itu mampu menyediakan bilik penginapan kepada 9,961 jemaah serentak dengan pecahan empat atau lima orang di dalam satu bilik, kecuali di hotel Al-Haram ada sebahagian kecil berkongsi lapan orang dalam satu bilik bersaiz besar.

Antara perkhidmatan disediakan TH di setiap zon ialah kaunter pengeluaran wang, pusat rawatan kesihatan, unit kaunseling dan pusat khidmat pelanggan.

Affandi berkata, pihaknya cuba sedaya upaya untuk menempatkan jemaah yang datang bersama ahli keluarga di aras hotel yang sama bagi memudahkan mereka.

"Sistem yang kami gunakan ialah memberikan kod kepada jemaah yang berkeluarga. Kita minta jemaah maklumkan kepada kita jumlah anggota keluarga mereka.

"Kalau berlima, semua akan cuba kita tempatkan bilik mereka pada aras yang sama tapi mesti akan dipisahkan lelaki perempuan," katanya.

Mengulas mengenai "fast track" atau pelepasan segera kepada jemaah Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz yang mula diperkenalkan tahun ini, Affandi berkata ia memberi perbezaan besar dalam mengurangkan masa pergerakan jemaah.

"Sebelum ini proses imigresen dan pengambilan bagasi jemaah mengambil masa amat lama iaitu sehingga enam atau tujuh jam tapi dengan kemudahan baru ini saya menjangka jemaah yang menaiki bas pertama mungkin hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit atau satu jam sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:36 PM
AFFANDI bersama Pengurus Pusat Zon 1 TH Madinah Fisol Nayan meninjau keadaan bilik di hotel Al-Haram yang bakal diduduki jemaah haji Malaysia.
AFFANDI bersama Pengurus Pusat Zon 1 TH Madinah Fisol Nayan meninjau keadaan bilik di hotel Al-Haram yang bakal diduduki jemaah haji Malaysia.