DR Abd Halim (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya AADK.
DR Abd Halim (tengah) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya AADK.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kajan: Isu penyeludupan serta pengedaran dadah berterusan di negara ini tidak akan selesai selagi usaha mengenal pasti ‘raja dadah’ sebenar tidak dilakukan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, kebanyakan individu ditahan dan didakwa kini adalah ‘orang tengah’ yang membawa dadah, pengedar kecil-kecilan serta penagih.

Katanya, lambakan dadah membabitkan rampasan dalam skala besar mencecah jutaan ringgit dibiayai individu tertentu yang mempunyai kemampuan membayar, memiliki, menyimpan sebelum memberinya kepada orang tengah untuk diedar serta dijual di kaki lima.

“Lazimnya isu dadah sukar dibendung bukan kerana tingginya permintaan terhadap bekalan, sebaliknya kerana wujudnya bekalan dalam jumlah besar.

“Jika ada permintaan tinggi, tapi bekalan tiada, isu dadah bukan masalah. Ia menjadi masalah kerana bekalan dadah dijual secara berleluasa.

“Bekalan dadah yang sentiasa ada itu dibiayai Kingpin atau individu yang mempunyai kuasa wang untuk menyeludupnya masuk,” katanya ketika ditemui dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, semalam.

Menurut Abd Halim, masalah penagihan dadah sukar dibanteras sepenuhnya selain dalang utama ini tidak ditumpaskan.

“Individu itu dengan kuasa kewangan yang ada mampu untuk membiayai kos penyeludupan dadah biarpun berkali-kali serbuan serta rampasan dilakukan pihak berkuasa.

“Jadi, maklumat daripada orang tengah atau pengedar kecil-kecilan yang ditahan sangat penting bagi mengenal pasti siapa individu itu yang bukan saja berada di luar negara, sebaliknya berada di negara ini,” katanya.

Abd Halim berkata, biarpun jumlah penagih dadah menurun hingga 19.6 peratus pada 2017, dadah kekal sebagai ancaman nombor satu kepada negara selama tiga dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:36 AM