ANGGOTA STRIKE bersama senjata api dan bahan letupan yang dirampas di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan, Ahad lalu. FOTO Ihsan AADK
ANGGOTA STRIKE bersama senjata api dan bahan letupan yang dirampas di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan, Ahad lalu. FOTO Ihsan AADK
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan dua lelaki untuk siasatan kerana memiliki selaras senapang patah, tiga peluru hidup, dua laras senapang angin buatan sendiri dan bahan letupan.

Kesemua senjata dan bahan letupan itu dirampas dalam operasi khas membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Ibu Pejabat dan kontinjen Kelantan di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan pada jam 1 pagi Ahad lalu.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Zainudin Abdullah berkata, pasukan STRIKE sebelum itu menjalankan serbuan ke atas sebuah premis sebelum menahan tujuh individu di lokasi berkenaan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, pasukan STRIKE yang melakukan pemeriksaan terkejut apabila mendapati salah seorang daripada mereka yang diperiksa menyimpan tiga butir peluru hidup di dalam poket seluar.

“Susulan itu anggota pasukan STRIKE dikerahkan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di dalam premis itu sebelum berjaya menemui selaras senapang patah selain dua laras senapang angin buatan sendiri.

“Turut ditemui sebutir kelongsong plastik berwarna hijau yang bertulis 'explosive' dipercayai bahan letupan,” katanya.

SENJATA api dan bahan letupan yang dirampas. FOTO Ihsan AADK
SENJATA api dan bahan letupan yang dirampas. FOTO Ihsan AADK

Bagaimanapun katanya, atas faktor keselamatan STRIKE tidak mengendalikan bahan letupan berkenaan apabila dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, seorang lelaki yang mengaku bekerja di premis itu turut ditahan apabila didapati berada di lokasi semua senjata berbahaya berkenaan dijumpai.

Katanya, lima lelaki lain dipercayai pengunjung premis itu ditahan selepas didapati positif saringan ujian air kencing, manakala dua lagi lelaki ditahan STRIKE atas kesalahan memiliki senjata berbahaya lalu diserahkan kepada polis.

“Dalam operasi sama bermula jam 1 pagi, pasukan STRIKE memeriksa 19 individu dan menahan 11 lelaki selepas didapati positif ujian saringan dadah jenis amphetamine atau lebih popular di negeri itu sebagai pil kuda atau yaba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 6:12 PM