PERKHIDMATAN bas Percuma CAT Laluan II bermula esok. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
PERKHIDMATAN bas Percuma CAT Laluan II bermula esok. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhammad Yusri Muzamir


KERAJAAN negeri Pulau Pinang melancarkan perkhidmatan bas percuma menerusi sistem Pengangkutan Pengurangan Kesesakan (CAT) Laluan II yang akan berkuat kuasa esok.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng, berkata bagi tujuan itu, sebanyak tiga bas disediakan yang akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 malam.

Beliau berkata, bas terbabit akan melalui jajaran sepanjang 8 kilometer (km), selain berhenti di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.

“Kos diperuntukkan bagi perkhidmatan bas CAT ini bernilai RM50 juta dengan keseluruhannya dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan ia adalah kesinambungan perkhidmatan sama bagi laluan lain sebelum ini.

“Kekerapan perkhidmatan bas percuma ini ialah selang 20 minit, sekali gus dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di lokasi terbabit, terutama di kawasan KOMTAR dan berhampiran,” katanya.

Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KOMTAR berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bas CAT di Terminal Bas KOMTAR di Georgetown, hari ini.

Perjalanan bas CAT Laluan II akan bermula dari Terminal Bas KOMTAR sebelum melalui Jalan Penang, Jalan Burma, Jalan Pangkor, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Residensi, Jalan Anson, Jalan Perak, Jalan Macalister dan Jalan Dr Lim Chwee Leong.

Sebelum ini, kerajaan negeri melancarkan perkhidmatan tiga bas CAT pada Januari 2009, dan bilangannya ditambah kepada lima pada November 2014, dengan mencatatkan purata lebih 1 juta pengguna setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 2:30 PM