IBU Rose turut menulis buku mengenai keibubapaan.
IBU Rose turut menulis buku mengenai keibubapaan.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Menyedari bidang kekeluargaan penting dalam membangunkan modal insan yang boleh merubah dunia membuatkan dia terpanggil untuk membantu meningkatkan kemahiran mendidik anak-anak menerusi kaedah cemerlang.

Sebagai Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Dr Rozieta Shaary memasang tekad membantu ibu bapa di negara ini mendidik anak-anak agar dapat melahirkan insan berjasa kepada mereka, bangsa dan negara.

Bagi mencapai misi terbabit, Rozieta atau lebih mesra dengan panggilan Ibu Rose menggunakan pelbagai medium bagi memastikan mesej kekeluargaan dapat disampaikan kepada ibu bapa termasuk dengan mengeluarkan buku, menulis di laman web, media sosial dan mengadakan seminar.

Malah, ibu kepada lima anak terbabit turut aktif mengadakan kelas percuma secara dalam talian bagi memberikan kemudahan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan mempelajari dan mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling bagi mendidik anak dengan kaedah berkesan.

Perjuangannya ternyata membuka mata pelbagai pihak apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Memperkasakan Ibu Bapa dan Keluarga oleh Niaga Times pada 19 April lalu.

Menurutnya, pembabitannya dalam bidang kekeluargaan melebihi 29 tahun.

“Pada 2011, saya mula memfokuskan perjuangan dalam bidang kekeluargaan ke arah keibubapaan kerana menyedari proses didikan kanak-kanak bermula dari rahim ibu lagi.

“Keibubapaan ini sebenarnya adalah proses di mana hidup seseorang itu bermula. Ibu bapa adalah dunia pertama anak-anak dan hampir semua daripada kita belajar mengenal dunia dan hidup daripada ibu bapa.

“Didikan yang cemerlang daripada ibu bapa dapat melahirkan modal insan berkualiti dan boleh membangunkan negara.

“Perjuangan saya adalah membantu ibu bapa agar sedar hakikat ini dan meningkatkan kemahiran mereka dalam mendidik anak,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh. FOTO File NSTP
Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh. FOTO File NSTP

Menurutnya, cabaran ibu bapa pada masa kini dalam mendidik anak adalah berbeza berbanding sebelumnya berikutan peredaran zaman dan kepesatan pembangunan yang dikecapi hari ini.

“Banyak perangkap baru yang timbul dan perlu dielakkan.

“Selain itu, perubahan pemikiran generasi baru memerlukan ibu bapa meraih kemahiran baru. Banyak aspek perlu diambil kira namun ramai yang masih belum celik mengenai perkara ini,” katanya.

Rozieta berkata, bagi berkongsikan ilmu kekeluargaan, dia turut menulis dan menerbitkan beberapa buku sebagai panduan kepada ibu bapa untuk menambahkan pengetahuan serta kemahiran bagi mendidik anak ke arah yang cemerlang antaranya A Love World, Raising Happy Kids dan Pebbles In The Pond.

“Selain itu, saya aktif memberikan ceramah, seminar, khidmat kaunseling dan terapi untuk ibu bapa serta kanak-kanak bermasalah.

“Dalam masa sama bagi berkongsi dengan lebih ramai ibu bapa, saya turut melaksanakan kelas dalam talian dan ia adalah percuma bagi ibu bapa menambahkan ilmu dan kemahiran mendidik anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 12:02 PM