GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


AKIBAT bengang kunci motosikalnya hilang, lelaki tergamak membaling batu lesung ke arah ibunya dalam kejadian di Manir, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Dalam kejadian 7 pagi itu, suspek berusia 20-an turut mengugut mahu membunuh ibu dan bapanya sekiranya pasangan warga emas terbabit tidak mahu menyerahkan kunci kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek yang menyedari kunci motosikalnya hilang sejak Jumaat lalu menuduh jirannya mencuri kunci itu.

Beliau berkata, suspek yang bengang dengan kehilangan itu bertindak merosakkan atap rumah keluarganya menggunakan tukul bagi melepaskan kemarahannya.

"Suspek yang masih tidak berpuas hati sekali lagi mengamuk pada keesokan harinya (Sabtu) apabila merosakkan semua harta benda di dalam rumah keluarganya.

"Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana beranggapan keluarganya bersubahat dengan jiran mereka dalam kehilangan kunci motosikalnya.

"Kemarahan suspek semakin menjadi-jadi pada Ahad lalu apabila suspek yang mengamuk cuba membaling batu lesung ke arah ibunya berusia 70-an kerana masih gagal menemui kunci motosikalnya selain mengugut mahu membunuh pasangan warga emas itu sebelum meninggalkan rumah," katanya.

Idris berkata, susulan kejadian itu, bapa suspek berusia 71 tahun yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya selain tidak tahan dengan sikap suspek, mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 6:00 PM