Datuk Seri Jamal Yunos ketika ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI). FOTO NSTP
Datuk Seri Jamal Yunos ketika ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI). FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


TUKANG gunting rambut di Alexandro Barber, Jakarta, Indonesia terkejut apabila dimaklumkan bahawa lelaki yang selesai menggunting rambut di situ adalah Datuk Seri Jamal Yunos, orang buruan polis yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

Tukang gunting yang ingin dikenali sebagai Yudi, ketika dihubungi semalam berkata, dia tidak mengesyaki bahawa lelaki itu dikehendaki berikutan ketika menggunting rambut, Jamal bersikap bersahaja dan tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik atau kerisauan.

"Ketika dia (Jamal) masuk, saya tahu dia orang dari Malaysia berdasarkan tutur katanya yang mahu menggunting rambut, tetapi tidak tahu pula dia dikehendaki polis.

"Saya cuma tahu dia dikehendaki polis apabila sekumpulan lelaki berpakaian biasa menahannya di hadapan kedai selepas selesai menggunting rambut," katanya.

Semalam, kira-kira 6.15 petang, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI).

Penangkapan Jamal disahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan semalam dan memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pun dihubungi bagi menyelaras urusan membawa pulang Pengerusi Gerakan Baju Merah itu.

Menurut sumber, Jamal ditahan selepas POLRI membuat pengawasan dan pemantauan pergerakan pemimpin UMNO itu lebih sebulan.

Jamal ditahan selepas selesai menggunting rambut di kedai gunting rambut di Jakarta.

Sebelum ini, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada 5.30 petang, 25 Mei lalu.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Bagaimanapun, ketika diburu, Jamal pernah memuat naik video menyatakan masih berada dalam negara dan memaklumkan bahawa usaha kerajaan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negara luar termasuk polis antarabangsa (Interpol) adalah tindakan sia-sia.

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan bahawa waran tangkap dikeluarkan ke atas Jamal di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:30 PM