HASLINA  (tengah) melawat tapak pameran sempena majlis perasmian Matta B2B Umrah & Muslim Holiday di Sunway Putra Hotel.
HASLINA (tengah) melawat tapak pameran sempena majlis perasmian Matta B2B Umrah & Muslim Holiday di Sunway Putra Hotel.

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) sedang mempertimbang untuk menguatkuasakan kadar kompaun yang lebih tinggi kepada agensi pelancongan yang terbabit dengan penipuan pakej umrah yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Haslina Abdul Hamid berkata, ketika ini mereka yang didapati terbabit dengan kes penipuan itu hanya dikenakan denda RM5,000 yang dilihat terlalu rendah dan tidak memberi sebarang kesan kepada pelakunya.

Beliau berkata, kementerian kini di peringkat akhir bagi perbincangan berkenaan dan keputusan akan diserahkan kepada menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik sebelum ia dimuktamadkan serta dibawa ke Kabinet.

“Tujuan utama adalah untuk memberi pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kerana ia menganiayai golongan yang ingin menunaikan umrah terutama yang berada di luar bandar.

“Pengendali pakej umrah yang menipu ini terlalu licik jadi untuk selesaikannya juga mengambil masa jadi langkah meningkatkan kadar kompaun ini sebagai usaha tepat.

“Malah, dari 359 kes yang dilaporkan pada 2012 sehingga Mei 2018 mereka yang ditipu ini terpaksa menanggung kerugian bernilai RM12.4 juta,” katanya selepas majlis perasmian B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:54 AM