MAT SHUHAIMI. FOTO Arkib NSTP
MAT SHUHAIMI. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


SPEAKER Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) akan membuat pemakluman rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengenai kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, pagi ini.

Ng Suee Lim, ketika dihubungi berkata, beliau akan berbuat demikian secepat mungkin sebaik memperoleh sijil kematian Mat Shuhaimi.

“Saya akan maklumkan kepada SPR secara rasmi apabila menerima sijil kematian daripada keluarga YB Suhaimi.

“Kalau hari esok terima, saya akan maklumkan kepada SPR," katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong apabila penyandang tiga penggal, Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia pagi tadi selepas menderita kanser limfoma tahap empat yang dikesan sebulan lalu.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor penggal lalu itu, meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ketika dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Sementara itu, sumber memaklumkan SPR Selangor masih belum menerima makluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu.

“SPR Selangor sudah mengetahui mengenai kematian ADUN Sungai Kandis, namun belum mendapat makluman rasmi.

“Sebaik mendapat makluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, SPR negeri akan memaklumkan kepada SPR Ibu Pejabat dan sebarang pengumuman akan dilakukan oleh Ibu Pejabat," katanya.

ADUN Sungai Kandis sudah tiada... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 7:07 PM