ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari lelaki yang dipercayai lemas di sungai Kemaman di Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari lelaki yang dipercayai lemas di sungai Kemaman di Chukai, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai Kemaman di Chukai, tengah malam tadi.

Mangsa yang belum diperolehi identitinya berusia 20-an itu dipercayai terjun dari sebuah kapal yang sedang dibaiki di tepi sungai terbabit, pada 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Penguasa Bomba Yahya Hanafi berkata, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan sedang mencari barangan terpakai di atas kapal terbabit.

Beliau berkata, seorang pekerja di kawasan limbungan kapal itu menyedari perbuatan mangsa sebelum menyergah mereka.

“Terkejut dengan sergahan itu, mangsa dan rakannya itu cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai.

“Mangsa dipercayai tidak pandai berenang dan dikhuatiri lemas di kawasan sungai itu, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.35 tengah malam sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi membabitkan 30 anggota daripada pelbagai agensi seperti bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Kami melakukan operasi selaman di dasar sungai, seberang sungai termasuk menyusuri sepanjang sungai menggunakan bot polis dan bomba,” katanya.

Menurutnya, sehingga 7 malam tadi, mangsa belum ditemui dan pihaknya akan memperluaskan operasi meliputi kawasan pencarian seluas satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 8:38 PM