Suhaila Shahrul Annuar

PENERBANGAN pertama jemaah haji 1439H/2018 dijadual berlepas dari tanah air pada 14 Julai ini, manakala penerbangan terakhir pada 14 Ogos.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata ia membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Katanya, kuota haji bagi tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu 30,200 jemaah.

Beliau menjelaskan bagi operasi haji tahun ini sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad dan 41 pesawat Flynas.

"Penerbangan balik bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini," katanya pada

Sesi Taklimat Operasi Haji 1439H/2018 di di Movenpick Hotel and Convention Center, Sepang, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH merangkap Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain itu, katanya buat pertama kalinya bagi tahun ini, jemaah haji dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan berlepas dari Kompleks TH Sepang yang sebelum ini dilakukan dari Kompleks TH Kelana Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 1:40 PM
PENGARAH Urusan Kumpulan Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman ketika membuat lawatan sekitar Kompleks TH Sepang yang akan digunakan buat pertama kali bagi mengendalikan operasi haji tahun ini. Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH