Barang milik mangsa yang dicuri di kuarters Jabatan Bekalan Air Selumit, dikembalikan semula  pencuri di Tanjung Manis.
Barang milik mangsa yang dicuri di kuarters Jabatan Bekalan Air Selumit, dikembalikan semula pencuri di Tanjung Manis.

Tanjung Manis: Pelik tapi benar apabila seorang pencuri memulangkan semula barang dilarikan daripada sebuah rumah tidak sampai tempoh 24 jam.

Penjenayah sebelum ini memecah masuk kuarters kakitangan Jabatan Bekalan Air Selumit di sini, Isnin lalu sebelum melarikan televisyen dan tong gas milik mangsa.

Susulan itu mangsa, Persi Saperi, 43, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Manis, di sini jam 6.46 petang hari kejadian, selepas menyedari kediamannya diceroboh.

Persi berkata, dia kemudian berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT supaya pencuri terbabit memulangkan semula barang kepunyaannya itu.

“Pada solat Subuh (kelmarin), saya ada membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dan memohon sepenuhnya kepada Allah SWT supaya saya mendapat kembali barang dicuri itu.

“Berbekalkan sedikit ilmu dan keizinan Allah SWT, saya cuba ‘memanggil’ kembali pencuri. Selebihnya, saya bertawakal kepada Tuhan,” katanya ketika ditemui semalam.

Doa Persi yang teraniaya itu termakbul apabila televisyen dan tong gas yang dicuri ditemui semula.

Katanya, barang berkenaan diletakkan di kawasan lapang tidak jauh dari kediamannya pada jam 1.30 tengah hari, kelmarin.

“Saya menemui semula barangan itu sejurus pulang daripada Tanjung Manis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:22 PM