FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Shamran Sarahan


UMNO menyuarakan kekesalan dengan perutusan Aidilfitri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkan berbaur politik dan cuba menghasut rakyat agar membenci parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataannya berkata, berbanding perutusan khas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, yang menyentuh pentingnya institusi diraja dipertahankan, Dr Mahathir sebaliknya masih mempertahankan pembohongan kabinetnya mengenai hutang negara dan bencinya kepada kerajaan terdahulu.

Katanya, Dr Mahathir seolah-olah menunjukkan dirinya seorang yang suci umpama wali Allah apabila beliau menyebut mengenai kemurnian Aidilfitri serta ajaran Allah, tetapi dalam masa sama membangkitkan perasaan benci melulu terhadap BN dan UMNO.

“UMNO terkilan dengan sifat sedemikian. Perutusan itu sepatutnya digunakan untuk perpaduan nasional, saling bermaaf-maafan dan nada kegembiraan.

“Bagaimanapun, Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk menyalahkan kerajaan silam (BN) dan memuji kerajaan (diterajui) Pakatan Harapan (PH) yang baru lebih sebulan berkuasa sebagai 'perfect' atau sempurna serta tidak akan membuat kesilapan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Katanya, UMNO sebaliknya menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong kerana meminta rakyat menjaga Institusi Raja Berperlembagaan sebagai penyelamat jika berlaku sesuatu masalah besar kepada negara.

Kenyataan itu turut mempersoalkan Dr Mahathir dan Kabinetnya bahawa adakah mereka sedar keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak mengadakan rumah terbuka di Istana Negara sebagai tanda baginda ‘jauh hati’ bila pentadbiran PH mengizinkan bekas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A Kadir Jasin dan pihak tertentu mempersoalkan kos perbelanjaan diraja.

“Ia satu tindakan yang tidak sewajarnya kepada tuan tanah negara ini. Mungkinkah mereka yang kurang ilmu ini ingin menunjukkan tahap pemikiran sebenar?

“Tidakkah sudah wujud provokasi terhadap institusi diraja oleh ejen PH, dan adakah PH mengharapkan orang Melayu akan duduk diam apabila satu-satunya hak mereka yang tinggal ini, dipersoalkan?

“Bagaimana pula perasaan Dr Mahathir sendiri yang mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran, sedangkan tradisi rumah terbuka Istana Negara tidak dipandang berat oleh kerajaannya?” katanya.

Menurutnya, ia juga seolah-olah mencerminkan kerajaan kini mengajak rakyat supaya tidak lagi menghormati, mendaulatkan dan memandang tinggi Institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak menyentuh perkara politik dalam perutusan hari raya beliau, sebaliknya menyatakan Aidilfitri patut digunakan sebagai perayaan untuk perpaduan ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 7:59 PM