TANGKI air yang menghempap kereta Perodua Kancil sehingga remuk di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
TANGKI air yang menghempap kereta Perodua Kancil sehingga remuk di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


TANGKI mengandungi 200 liter air jatuh dari tingkat satu Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu lalu menghempap kereta Perodua Kancil yang diletakkan di tepi bangunan itu, hari ini.

Kejadian pada 10.30 pagi itu disedari oleh pemilik sebuah restoran sebelum pengurus premis terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian pada 2.47 petang hari sama.

Akibat kejadian itu, kereta berkenaan remuk teruk di bahagian bumbung, namun tiada kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tangki air plastik milik sebuah restoran terjatuh dari tingkat satu bangunan berkenaan.

“Tangki itu boleh menampung 400 liter dan ketika kejadian tangki itu berisi air hampir 200 liter. Punca kejadian dipercayai akibat penahan tangki air jenis papan lapis reput.

“Selain itu, tangki terbabit yang diletakkan di bucu bangunan turut tiada penghadang keselamatan,” katanya menerusi kenyataan media.

Chandra berkata, ketika kejadian tiada kemalangan jiwa dan kecederaan kerana pemilik kereta tiada di dalam kenderaannya.

“Berdasarkan perbincangan, pengurus restoran itu bersetuju untuk membayar segala ganti rugi yang dialami oleh pemilik kereta terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:48 PM