LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Saya tidak mahu tunggu keadaan Muzeer kritikal baru mahu melakukan pemindahan hati. Kalau tunggu lebih lama saya bimbang dia tidak dapat menaiki penerbangan untuk menjalani pemindahan hati di India,” kata Nurul Ain Mohd Yasin, 25, ibu pesakit hati kronik, Muhammad Haryk Muzeer Zulkarnain, 3.

Katanya, dia bersyukur kerana selepas penderitaan Muhammad Haryk Muzeer, disiarkan akhbar ini semalam, jumlah dana di dalam tabung ditubuhkan bagi membiayai kos pemindahan hati anak bongsunya itu meningkat.

Dia amat berharap agar dapat mengumpul dana berjumlah RM250,000 untuk membiayai kos pemindahan hati Muhammad Haryk Muzeer.

Ibu muda itu berkata, buat masa sekarang keadaan Muhammad Haryk Muzeer yang menghidap Sindrom Alagille atau hati kronik masih stabil, namun semua urusan membabitkan pembedahan perlu diselesaikan dalam masa terdekat.

“Usaha untuk mencukupkan wang bagi tampung kos pemindahan hati Muhammad Haryk Muzeer perlu dilakukan bermula sekarang. Saya tak mahu tengok anak kitikal barulah nak cari duit.

“Sebab itu saya mensasarkan untuk bawa Muhammad Haryk Muzeer ke India bulan depan, lebih baik segera ke sana sementara keadaannya anak masih stabil,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada dana berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun CIMB Bank, 7608389525 atas nama Nurul Ain Mohd Yasin.

Suri rumah itu berkata, doktor di India memang sudah bersedia dan menunggu kedatangan Muzeer, namun kekangan kewangan menyebabkan perancangannya terbantut.

“Syukur ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib Muhammad Haryk Muzeer menghulurkan sumbangan, terima kasih kepada semua hanya Allah SWT mampu membalasnya.

“Bagaimanapun, saya sangat berharap kos untuk proses pemindahan hati anak dapat dicukupkan dalam tempoh terdekat, semoga Muhammad Haryk Muzeer dapat menjalani kehidupan seperti rakan sebayanya yang lain selepas ini,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri Nurul Ain berkata, fokusnya sekarang adalah kesihatan Muhammad Haryk Muzeer berikutan itu dia tidak membuat sebarang persiapan khusus.

Harian Metro semalam melaporkan Nurul Ain dan suami, Zulkarnain Abdullah, 36, akan menjalani ujian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas Aidilfitri nanti untuk membandingkan hati siapa paling sesuai untuk didermakan kepada Muhammad Haryk Muzeer.

Lebih memilukan, pasangan itu terpaksa berdepan dengan pandangan sinis orang ramai kononnya mereka mendera Muhammad Haryk Muzeer berikutan banyak kesan lebam dan luka di badan serta wajah kanak-kanak itu.

Suami wanita itu bekerja sebagai penjual burger mempunyai pendapatan RM700 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 11:28 AM