KEDUTAAN Malaysia di Pyongyang akan dibuka semula menurut Tun Mahathir.
KEDUTAAN Malaysia di Pyongyang akan dibuka semula menurut Tun Mahathir.
Veena Babulal


MALAYSIA memutuskan membuka semula kedutaannya di Pyongyang, Korea Utara sebagai satu cara menyambung semula hubungannya dengan republik itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian apabila ditanya mengenai status kedutaan dan misi Malaysia di negara itu yang masih tergantung serta disifatkan sebagai membuang masa.

“Ya, kita akan membuka semula kedutaan itu,” katanya kepada agensi penerbitan terbesar Jepun, Nikkei Asian Review ketika Persidangan Luar Masa Depan Asia 2018 di Tokyo, hari ini.

Kedutaan Malaysia di Korea Utara menamatkan perkhidmatannya sejak April 2017 susulan kontroversi pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu, Malaysia mempertimbangkan menutup kedutaannya di Pyongyang secara kekal dan memindahkan kedutaan ke Beijing.

Sementara itu mengenai Sidang Kemuncak Amerika Syarikat (AS)-Korea Utara, Dr Mahathir berkata, Kuala Lumpur tidak boleh ragu-ragu atas keikhlasan Pyongyang dalam rundingannya dengan Barat kerana syak wasangka akan menghalang kerjasama itu.

“Kita patut ‘jaga air muka’ Korea Utara dan pastikan mereka mengambil bahagian dalam rundingan antarabangsa untuk mengamalkan pendirian bersederhana, seperti dasar diamalkan sebelum ini.

“Kita sepatutnya menelitinya sebagai satu tindakan tepat dan cuba mewujudkan hubungan yang baik termasuk hubungan perdagangan dengan Korea Utara,” katanya.

Hari ini Presiden AS, Donald Trump dan Jong Un bersalaman dan tersenyum dalam usaha memulakan satu hubungan bersejarah pada pertemuan di Singapura, hanya beberapa bulan selepas mereka berbalas penghinaan dan ancaman perang nuklear.

Dr Mahathir menegaskan Korea Utara mempunyai hak untuk mempunyai beberapa kepentingannya seperti AS.

“Sekiranya Korea Utara berjanji untuk meninggalkan senjata nuklear, maka tidak akan ada ketegangan. Pyongyang tidak akan membazirkan wang untuk meningkatkan kuasa ketenteraan kerana ‘ketakutan’ kepada AS dan Korea Selatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangannya mengenai Trump, Dr Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Trump sukar difahami kerana sikapnya yang kerap berubah-ubah.

“Kita benar-benar tidak boleh membuat sebarang penilaian terhadap dasar Trump kerana dia boleh mengubah fikirannya.

“Kadang-kadang, dia berkata satu perkara dan mengubah fikirannya dan membuat perubahan lagi. Itu menjadikan kita sukar untuk memahami apa dasar yang beliau cadangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 6:45 PM