SAMURI (kanan) dan isteri, Nurini Jamali (kiri) menunjukkan gambar terakhir Allahyarham. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SAMURI (kanan) dan isteri, Nurini Jamali (kiri) menunjukkan gambar terakhir Allahyarham. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin
cnews@nstp.com.my


“Saya biasa tolong mangsa kemalangan di kawasan rumah, cuma kali ini jenazah anak sendiri diangkat ke trak polis.”

Samuri Basri, 62, sukar menahan hiba mengenang nahas yang meragut nyawa anaknya, Muhamad Azizil Alim, 24, selepas motosikal ditunggang merempuh lori tangki, semalam.

Dalam kejadian 3 pagi di Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang berhampiran Panchang Bedena, Sungai Besar, semalam, anak kelima daripada enam beradik itu maut di tempat kejadian manakala rakannya yang membonceng, Mohamad Amri Saharudin, 21, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini.

Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di kepala.

Samuri mendakwa melihat bayang wajah anaknya itu ketika menunaikan solat Tarawih, tiga hari lalu.

“Saya nampak jelas wajahnya dalam sujud hingga air mata saya mengalir pada waktu itu dan mula rasa tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Satu Barat, Sungai Besra, hari ini.

Beliau mendapat tahu mengenai kemalangan itu apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga yang datang ke rumah.

“Saya bergegas ke lokasi dan dunia terasa gelap seketika apabila melihat arwah ditutup dengan kain putih.

“Dalam kesedihan, saya angkat jenazah anak ke dalam trak polis dan mengiringinya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ),” katanya.

Ibu Mohamad Azizil, Nurini Jamali, 58, berkata, anaknya itu sempat menjamah ayam masak kicap kegemarannya sebelum kemalangan.

“Pada petang kejadian, saya melihat dia tidur di bilik sebelum mengejutkannya dan berbuka bersama.

“Dia cuma makan sedikit berbanding biasa dan tidak memandang wajah saya ketika berbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:15 PM