NAIB Presiden Persatuan Pengimpot Kereta Melayu Malaysia (Pekema) Datuk Nadzir Sheikh Fadzir (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor (kanan) melihat baju raya yang di pilih oleh penerima sumbangan di Mydin Mall Bukit Mertajam, semalam. FOTO Azahar Hashim
NAIB Presiden Persatuan Pengimpot Kereta Melayu Malaysia (Pekema) Datuk Nadzir Sheikh Fadzir (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor (kanan) melihat baju raya yang di pilih oleh penerima sumbangan di Mydin Mall Bukit Mertajam, semalam. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


SERAMAI 250 pelajar miskin dan kurang berkemampuan gembira apabila dibawa ke Mydin Mall di Bukit Mertajam untuk membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri sumbangan Yayasan Persatuan Pengimport Kereta Melayu Malaysia (PEKEMA).

Naib Presiden PEKEMA, Datuk Nadzir Sheikh Fadzir berkata, pelajar terbabit dipilih dalam kalangan golongan kurang berkemampuan, anak yatim, pelajar sekolah dan pelajar sekolah tahfiz di daerah Kulim/Bandar Baharu serta Seberang Perai, Pulau Pinang.

Katanya, Yayasan PEKEMA memperuntukkan kira-kira RM200 untuk seorang pelajar dan pihaknya berterima kasih kepada Mydin Mall yang turut memberi potongan harga kepada penerima sumbangan.

“Kita memperuntukkan RM50,000 untuk pelajar berbelanja bagi program yang masuk kali ke-15 ini.

“Kerjasama dengan pihak Mydin Mall sudah berjalan sejak empat tahun lalu dan pihak kami memberi peluang pelajar terbabit memilih sendiri baju raya mengikut cita rasa masing-masing,” katanya ketika melayan penerima sumbangan di Mydin Mall Bukit Mertajam, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Nadzir berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat meringankan bebanan ibu bapa pelajar terbabit dalam menyediakan sambutan raya.

Sementara itu, Norsabrina berkata, pihaknya berterima kasih kepada Yayasan PEKEMA atas sumbangan untuk pelajar miskin di kawasan daerah Bandar Baharu.

Katanya, sumbangan itu membolehkan pelajar terbabit meraikan hari raya dengan lebih ceria terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Nurul Ainun Balkis Mohamad Saiful, 9, berkata, dia teruja dapat membeli pakaian baharu.

“Tahun ini saya dapat menyambut raya lebih bersemangat kerana dapat membeli pakaian baharu hingga sukar membuat pilihan kerana pakaian dijual semua cantik dan tidak sabar memakainya pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 10:40 AM