ERMAL melihat keadaan Nur Eliya Darwisha.
ERMAL melihat keadaan Nur Eliya Darwisha.
HM Digital

Kuala Lumpur: Ketika kegembiraan Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi, situasi berbeza pula dihadapi Muhammad Yusman Ab Rahman, 29, dan isterinya, Ermal Ermiral Azhar, 29, yang tiada perasaan teruja melainkan debaran menanti detik bayi mereka dibedah, hari ini.

Anak bongsu mekanik itu, Nur Eliya Darwisha, 2 bulan, dilahirkan tidak cukup bulan, 3 April lalu dan menghidap masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit yang mengakibatkan tumbesaran tidak normal seperti bayi lain dan memerlukan mesin pernafasan untuk meneruskan hidup.

Kisah penderitaan bayi ini dan kerunsingan ibu bapanya mencari sumber kewangan menampung kos rawatannya di hospital menyentuh hati netizen selepas disiarkan Harian Metro, 25 April lalu hingga ramai individu menyalurkan bantuan.

Menurut bapa dua anak itu, dia dan isterinya tidak putus harapan untuk melihat bayi mereka yang terlantar di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sejak dilahirkan sembuh dan hidup seperti bayi seusianya.

“Sejak lahir, dia tidak pernah dibawa balik ke rumah. Macam-macam dugaan dihadapi termasuk kekangan kewangan terhad, malah saya sendiri kerap meminta cuti di bengkel kerana sibuk berulang menghantar isteri dan menjenguk anak di hospital,” katanya.

Menurutnya, bayi mereka dipindahkan dari HCTM ke Hospital Gleneagle di sini, kelmarin, untuk menjalani pembedahan.

“Saya hendak ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi menyumbang.

“Dengan wang itu, dapatlah kami menjelaskan bil hospital yang tertunggak RM19,755 dan baki RM32,000 digunakan bagi membayar kos pembedahan dan rawatan di Hospital Gleneagles dianggarkan RM80,000,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan menyumbang ke akaun BSN, 1400341000018584 atas nama Muhammad Yusman bagi meringankan beban mereka.

Berita berkaitan

Tolonglah anakku...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 10:34 AM