SURUHANJAYA Pengangkutan Awan Darat (SPAD) akan digantikan dengan  Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). FOTO Halim Salleh
SURUHANJAYA Pengangkutan Awan Darat (SPAD) akan digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). FOTO Halim Salleh
Suhaila Shahrul Annuar dan Ahmad Suhael Adnan


KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan satu agensi baharu iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berperanan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, agensi bertaraf jabatan itu akan diketuai Ketua Pengarah untuk merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT),

Transit Aliran Ringan (LRT), rel dan sistem bas.

Menurutnya, struktur organisasi dan perjawatan dalam APAD akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Katanya, sebelum ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah dimansuhkan turut berperanan daripada segi perancangan dan pembangunan sektor pengangkutan awam darat, namun peranan itu akan dikekalkan di bawah APAD.

“Apa yang dilakukan SPAD sekarang ini akan diserap dalam APAD. Bezanya ini adalah agensi. Bukan suruhanjaya. Maksudnya kerajaan tidak perlu tubuhkan satu suruhanjaya, tidak ada pengerusi suruhanjaya atau ahlinya.

“Manakala daripada segi penguat kuasaan, pengendalian dan pengeluaran lesen kenderaan swasta atau perdagangan akan dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepenuhnya.

“Permohonan lesen atau nak bayar lesen semuanya melalui kaunter JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Jadi selepas kita laksanakan penstrukturan semula, tidak ada lagi kaunter berasingan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, katanya dengan penstrukturan semula itu, beberapa akta perlu dipinda dan dimansuhkan.

“Akta SPAD 2010 (Akta 714) yang akan dimansuhkan; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) akan dipinda untuk memberikan kuasa kepada Kementerian Pengangkutan, APAD dan JPJ dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga akan dipinda untuk beri kuasa kepada JPJ,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelan penstrukturan semula SPAD sedang diperincikan di peringkat kementerian.

Katanya, melalui empat jawatankuasa kecil yang ditubuhkan, ia akan dipantau Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, berhubung kekeliruan dan salah faham ramai pihak berhubung pembayaran saman SPAD susulan pembubaran suruhanjaya itu, beliau berkata, bayaran saman masih perlu dibuat.

“Ada yang keliru, dia ingat bila kita bubar SPAD, tiada penguat kuasaan atau saman SPAD tidak perlu bayar. Itu tidak tepat. “Sehingga Akta SPAD dibubarkan di parlimen, semua perkara berkaitan penguat kuasaan termasuk saman masih berjalan,” katanya.

Selain itu, katanya, APAD juga akan terbabit dengan pemprosesan lesen kenderaan perdagangan, namun cuma kaunter servis akan diletakkan di bawah JPJ.

“Kelulusan itu masih di bawah APAD, tetapi bidang kuasa mereka hanya tertakluk di Semenanjung saja.

“Jemaah Menteri turut bersetuju dua agensi yang memproses permohonan lesen kenderaan perdagangan termasuk lori dan bas iaitu Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:50 PM