Fairuz Zaidan

Melaka: “Saya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri dan Lembaga Perumahan Melaka yang membaik pulih rumah saya berusia 40 tahun. Bahagian bumbung zink, struktur kayu, jenang, siling, pintu dan tingkap sudah bertukar baru,” ujar warga emas, Mokhtar Akob, 78, yang menetap di rumah usang di Batu 3 1/4, di Solok Bukit Pulau, Bukit Baru di sini.

Mokhtar tinggal bersama anaknya, Faizal, 42, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan menantu serta dua cucu.

Mereka tiada sumber pendapatan dan hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan.

Dia bagaimanapun terharu apabila kedaifan dilalui mendapat perhatian Lembaga Perumahan Melaka yang bertindak membaik pulih kediamannya.

Sementara itu Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, program itu bersesuaian dengan aspirasi dalam Manifesto Pakatan Harapan iaitu meringankan bebanan kehidupan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka memperuntukkan RM100,000 bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membaiki rumah usang di Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih tahun ini.

ADLY (kanan) mengecat rumah Mokhtar, semalam.
ADLY (kanan) mengecat rumah Mokhtar, semalam.

“Matlamat utama program CSR Lembaga Perumahan Melaka adalah bagi memberi bantuan kemasyarakatan dan kebajikan terutama golongan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri,” katanya selepas melawat kerja membaiki rumah usang milik Mokhtar semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Mohd Dom.

Rumah itu yang terletak dalam kawasan DUN Bukit Katil adalah kediaman pertama yang dibaik pulih menerusi program berkenaan.

Pada majlis itu, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil melakukan gimik perasmian dengan mengecat rumah itu.

Kos baik pulih rumah itu berserta barangan elektrik, perabot dan bekalan makanan RM24,868.80.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:38 AM