NUR Syuhadah menyediakan inti “ Roti John Meatball” di Bazar PPR Batu Muda, Kuala Lumpur.
NUR Syuhadah menyediakan inti “ Roti John Meatball” di Bazar PPR Batu Muda, Kuala Lumpur.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Berani melakukan modifikasi dengan menggunakan beberapa bahan baru dalam penyediaan roti John antara langkah positif dilakukan seorang peniaga makanan bagi memberikan kelainan terhadap produknya.

Keputusan Nur Syuhadah Abdul Ajis, 27, mahu menggunakan inti daging kebab dan bebola daging untuk menghasilkan roti John ternyata berbaloi apabila makanan yang dihasilkannya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah habis dijual dalam tempoh beberapa jam saja.

Nur Syuhadah berkata, dia berniaga di Bazar Ramadan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini, sejak lima tahun lalu dan menyediakan roti John kepada orang ramai kerana beranggapan menu berkenaan juadah wajib ketika di bulan Ramadan.

Menurutnya, dia mempelajari menyediakan roti John dengan hanya melihat orang lain membuat juadah berkenaan sebelum mencubanya sendiri.

“Roti John adalah makanan yang perlu ada setiap kali bulan puasa, malah ia pasti mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana menganggapnya sebagai menu wajib.

“Oleh itu, amat penting bagi saya untuk menambah baik makanan terbabit dengan menggunakan bahan berlainan supaya dapat menarik minat orang ramai untuk membelinya,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan PPR Batu Muda di sini, semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, hasil usahanya mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai menggemari roti John miliknya, malah turut mempunyai pelanggan tetap yang membuat tempahan setiap hari.

“Saya dibantu dua pekerja yang membuka gerai seawal jam 3.30 petang dan kebiasaannya dalam tempoh dua jam, roti John saya habis.

“Bagi saya, kepuasan pelanggan adalah keutamaan dan mereka pasti datang lagi jika produk atau perkhidmatan yang ditawarkan baik dan memuaskan,” katanya.

Selain itu, dia turut bersyukur kerana dipilih sebagai peserta Program 5by20 yang banyak membantunya dalam melakukan penjenamaan produk dan merangka strategi pemasaran.

“Saya bertuah kerana dapat belajar daripada pengendali produk minuman terkemuka dunia. Sebelum ini, kami berdepan masalah untuk mempromosikan makanan tradisi secara lebih meluas.

“Kempen Coca-Cola KU membantu saya memperkenalkan makanan popular berkenaan kepada umum terutama di kawasan ini dan ternyata memberi impak apabila semakin ramai pelanggan mahu cuba merasainya berbanding sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:08 AM