WAN Sofiyyah (tengah), Amar (kiri) dan Fadzli  yang menjuarai pertandingan khat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Sofiyyah (tengah), Amar (kiri) dan Fadzli yang menjuarai pertandingan khat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


“SAYA minat dengan tulisan khat selepas sering melihat ibu menulis seni kaligrafi ini," kata Wan Soffiyah Wan Fakhrulrazi, 11, yang memenangi Pertandingan Seni Khat Kelantan 2018 dalam kategori Pelajar Sekolah Rendah di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Kemenangan itu membolehkan murid tahun lima itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 serta sijil.

Lebih manis, ibunya, Nik Fatimah Azzahra Nik Abd Kadir, 40, yang bertugas sebagai guru di Maahad Muhammadi Perempuan, Pasir Pekan mendapat tempat kedua bagi Kategori Dewasa sekali gus membawa pulang wang tunai RM800 serta sijil.

Hadiah disampaikan Ketua Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK), Abustarim Yaacob dalam Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pameran dan Pertandingan Seni Khat Kelantan 2018, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri, Nazwan Ismail.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, setelah melihat keindahan seni tulisan tangan khat yang dihasilkan ibunya, dia berasa kagum dan mula jatuh cinta untuk mendalami kaligrafi khat dengan lebih serius ketika berada di Tahun Tiga.

"Sejak itu, secara tidak langsung saya mempelajari seni kaligrafi khat dan cuba meniru apa sahaja tulisan tangan seni kaligrafi khat.

"Selepas dua tahun mempelajari dan mendalami seni tulisan khat, saya kini boleh menguasai dua jenis khat iaitu Nasakh yang sinonim dengan skrip al-Quran dan Riq’™ah ciptaan Turki (skrip asal jawi purba).

"Saya dapati tulisan ini mempunyai keunikan tersendiri dan akan terus berusaha untuk mempelajari beberapa lagi jenis tulisan khat selepas ini, " katanya.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapinya itu adalah hasil dorongan ibu dan ayah, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood, 43, yang tidak pernah jemu memberi galakan untuknya mempelajari seni khat.

"Bagi memastikan saya dapat menguasai seni khat, ibu dan ayah menghantar saya mengikuti kelas tulisan khat yang diajar sendiri bapa saudara Nik Abdul Rahman Zaki di Masjid An Nur, Pasir Pekan," katanya.

Sementara itu, Abustarim berkata, pertandingan anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) dan Persatuan Seni Khat Kelantan berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta.

"Ini adalah tahun kelima pertandingan seni khat dianjurkan sempena program Madinah Ramadan.

"Pada tahun ini juga buat julung kali kita buka penyertaan sekolah rendah yang menarik penyertaan 48 peserta cilik untuk mempromosi dan memartabat tulisan khat dalam kalangan generasi muda," katanya.

Pemenang, Wan Sofiyyah Wan Fakhrulrazi (tengah), Muhammad Amar Zikry Mohd Fauzi (kiri) dan Mohd Fadzli Mohamed yang menjuarai pertandingan khat dalam kategori masing-masing di Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pameran dan Pertandingan Seni Khat Kelantan 2018 di Madinah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 12:02 PM