Nurul Hidayah Bahudin


DUA penjenayah bukan saja berputih mata selepas gagal menyamun, malah identiti seorang daripada mereka turut terbongkar apabila telefon bimbitnya terjatuh ketika melarikan diri di sebuah rumah di Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, dekat Kajang, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pemilik rumah berkenaan berusia 55 tahun turut cedera di bahagian kepala dan rusuk kiri akibat dipukul dua penjenayah terbabit yang menaiki sebuah motosikal.

Anak lelaki mangsa hanya mahu dikenali sebagai Aizad, 19, berkata, ketika kejadian hanya bapa dan ibunya berada di rumah sebelum dua lelaki terbabit datang konon meminta bantuan untuk mencari sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Bapa keluar ke depan rumah selepas mendengar mereka memberi salam. Ketika bapa sedang menerangkan jalan, seorang daripada mereka masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang.

“Kehadiran lelaki terbabit disedari ibu yang kemudian menjerit meminta tolong. Jeritannya didengari bapa yang berada di luar sebelum seorang penjenayah yang menunggu di luar menyerangnya,” katanya ketika dihubungi.

Aizad berkata, berlaku pergelutan antara bapanya dan penjenayah terbabit yang kemudian menyerangnya menggunakan objek tajam dipercayai kerambit.

“Akibat pergelutan itu, bapa cedera di kepala dan rusuk kiri, namun berjaya melawan lelaki terbabit hingga mengakibatkan penjenayah itu terjatuh.

“Seorang lagi penjenayah yang masuk ke dalam rumah kemudian keluar untuk membantu rakannya sebelum mereka melarikan diri menaiki sebuah motosikal,” katanya.

Katanya, ketika melarikan diri, seorang daripada penjenayah itu tercicir telefon bimbitnya.

“Dalam telefon bimbit itu, ada gambar lelaki berkenaan. Mereka turut meninggalkan topi keledar di depan rumah sebelum memecut motosikal dalam usaha melarikan diri.

“Tindakan pantas bapa dan ibu menyebabkan kedua-dua penjenayah terbabit tidak sempat melarikan apa-apa barang dan wang tunai,” katanya memaklumkan mereka membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 6:12 PM