HAZANAH (kanan) bersama Suhif menunjukkan baju milik Allahyarham (gambar kecil) yang sempat dibeli sebelum maut dalam kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
HAZANAH (kanan) bersama Suhif menunjukkan baju milik Allahyarham (gambar kecil) yang sempat dibeli sebelum maut dalam kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


REMAJA lelaki yang maut apabila motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 37 Sabak Bernam, semalam dikatakan berubah sikap sehari sebelum kejadian.

Ibu mangsa, Hazanah Kamaruddin, 49, berkata Allahyarham Muhamad Fareezul Aiman Mohd Suhif, 15, yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menunjukkan perangai ganjil.

Menurutnya, kebiasaannya arwah akan menjemput adiknya Nurul Fatihah, 10, dan Faizatul Aida, 13, di sekolah berhampiran pada 5 petang setiap hari.

“Bagaimanapun, pada hari kejadian, dia hanya mendiamkan diri dan langsung tidak memandang muka saya apabila saya memintanya berbuat demikian.

“Malah, ketika berbuka puasa, dia cukup berselera menikmati lauk kegemarannya iaitu hati ayam masak berlada sehingga tiga kali menambah nasi.

“Saat itu, saya dapat rasakan ada sesuatu tidak kena pada arwah,” katanya yang menetap di Sungai Nireh Utara, Sungai Air Tawar, Saban Bernam.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi itu, Muhamad Fareezul Aiman yang menunggang Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian akibat patah tulang leher.

Katanya, mangsa juga hanya menggunakan wang RM50 bagi membeli baju raya, manakala wang baki dipulangkan semula kepadanya.

“Sebelum puasa lagi, saya beri arwah RM200 untuk persiapan Aidilfitri. Tetapi, arwah cuma guna RM50 sahaja dan selebihnya dia minta saya simpan untuk kegunaan lain.

“Lebih sayu, arwah sempat membeli tiga helai baju T dan kesemuanya berwarna hitam. Malam kejadian, arwah memakai salah satu daripada baju itu,” katanya.

Perbualan antara wartawan dengan Hazanah terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenangkan peristiwa yang menimpa arwah.

“Pada malam kejadian, kediaman saya didatangi dua anggota polis memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan. Sangkaan saya, arwah mungkin cedera ringan sahaja.

“Tetapi, Allah lebih menyayanginya apabila seorang lagi anggota polis menghubungi saya dari lokasi kejadian memaklumkan arwah sudah tiada,” katanya.

Katanya, dia dan suami Mohd Suhif Awang, 48, reda dengan kejadian yang menimpa anaknya dan menganggap ia sebagai ujian buat keluarganya.

Jenazah Muhamad Fareezul Aiman disembahyangkan di Masjid Ar-Rahmaniah, Sungai Air Tawar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Air Tawar.

Berita berkaitan

Remaja maut dirempuh kereta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 6:00 PM