KEADAAN mayat mangsa yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Kepala Batas, petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN mayat mangsa yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Kepala Batas, petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


POLIS mengesan pemandu pacuan empat roda yang dipercayai melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian lelaki warga emas di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Kepala Batas, petang tadi.

Dalam kejadian pada 5.05 petang itu, mangsa Khong Ah ha, 75, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Ketika itu, pemandu terbabit dalam perjalanan dari sebuah stesen minyak di Kepala Batas menuju ke Bertam, manakala mangsa pula menunggang motosikal bersendirian dari Bertam menghala ke pekan Kepala Batas.

“Pemandu itu didapati tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan berlaku,” katanya.

Katanya, polis sudah memperoleh nombor pendaftaran kenderaan itu dan usaha mengesan pemandu berkenaan sedang giat dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

“Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:15 PM