R Muniandy, 54, ketika hadir di Mahkamah Koroner Pulau Pinang, untuk mendengar inkues bagi menyiasat punca kematian anak perempuannya Vasanthapiriya, hari ini. FOTO Danial Saad
R Muniandy, 54, ketika hadir di Mahkamah Koroner Pulau Pinang, untuk mendengar inkues bagi menyiasat punca kematian anak perempuannya Vasanthapiriya, hari ini. FOTO Danial Saad
Hadzlihady Hassan


“SEBAIK membuka pintu bilik, saya lihat adik tergantung dengan selendang yang disangkut di paip pendingin hawa,” kata M Himapria, 18, ketika prosiding inkues di Mahkamah Koroner, Georgetown, hari ini.

Inkues itu dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua, M Vasanthapiriya yang meninggal dunia selepas menggantung diri, dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru.

Himapria yang juga anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia terpaksa menggunakan kunci pendua selepas adiknya tidak membuka pintu walaupun sudah beberapa kali diketuk.

“Saya mengetuk pintu dan memanggilnya, namun tiada jawapan dan selepas itu saya guna kunci pendua untuk membuka pintu.

“Selepas berjaya dibuka, saya terpaksa menolak pintu berkenaan kerana ada kerusi di sebalik pintu,” katanya yang juga saksi kelima pada hari kedua inkues itu yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah.

Menurutnya, dia turut menemui sepucuk surat yang ditulis adiknya mengatakan dia tidak mengambil telefon cikgu.

Sementara itu, saksi keenam inkues M Meharaj, 16, yang juga abang Vasanthapiriya memaklumkan mahkamah bapanya ada memberitahu akan menggantikan telefon pintar berkenaan sama ada ia diambil atau tidak diambil adiknya.

Terdahulu, saksi keempat S Tharisini, 14, yang juga rakan sekelas mendiang berkata, ketika hari kejadian dia berada bersama Vasanthapiriya sejak 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Kami bersama kerana hari itu ada aktiviti sukan di sekolah yang bermula waktu pagi dan berakhir tengah hari.

“Selepas selesai aktiviti sukan, kami berdua menukar baju untuk masuk ke kelas dan Visanthapiriya ada bersama saya sepanjang tempoh itu,” katanya.

Inkues yang dibantu Pegawai Pengendali J G Kaameni itu akan disambung pada 4 Julai ini.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Berita berkaitan

Inkues punca kematian Vasanthapiriya bulan depan [METROTV]

[UPDATE] Rakaman CCTV tunjuk Vasanthapiriya ambil telefon?

Air mata untuk Vasanthapiriya [METROTV]

'Kami mahu keadilan' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:09 PM