PENIAGA ayam, Iwan Rashin, 32 menunjukkan ayam siap disembelih dengan harga naik RM7.50 sekilo kepada RM8 pada tinjauan harga barang mentah di bulan Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Aswadi Alias
PENIAGA ayam, Iwan Rashin, 32 menunjukkan ayam siap disembelih dengan harga naik RM7.50 sekilo kepada RM8 pada tinjauan harga barang mentah di bulan Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Aswadi Alias
Syanty Octavia Amry & Julia Fiona


HARGA ayam terus naik pada setiap kali Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri. Tinjauan di pasar Chow Kit mendapati, rata-rata peniaga mengakui perkara berkenaan.

Menurut mereka, tidak hanya tahun ini, pada tahun-tahun lalu juga harga ayam akan naik apabila tibanya Ramadan.

Peniaga ayam, Iwan Rashin berkata, jika sebelum Ramadan harga ayam sekilo RM7.50, kini ia dinaikkan kepada RM8 sekilo.

"Setiap kali Ramadan harga ayam akan naik berikutan permintaan yang tinggi. Namun, begitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah menetapkan harga jadi kami tidak boleh sesuka hati menaikkan harga.

"Sehingga ke hari ini KPDNKK belum memberikan sebarang harga yang tertakluk kepada peniaga," katanya.

Sementara itu, harga cili merah turun daripada RM4 sekilo berbanding sebelum Ramadan RM6 sekilo.

Harga sayur-sayuran juga turun dan kekal kecuali sayur sawi naik harga daripada RM2.50 sekilo kepada RM5 sekilo.

Safril Haris yang juga peniaga sayur berkata, setakat ini pembekal memberikan harga yang berpatutan kepadanya dan dia menjual sayuran pada harga yang ditetapkan.

"Sayur yang saya peroleh masih pada harga terkawal dan pembekal sentiasa memberikan bekalan yang cukup buat saya setiap kali Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Kelapa parut juga antara yang mendapat permintaan tinggi setiap Ramadan dan harganya kekal RM7 sekilo.

Bagaimanapun, harga untuk sebiji kelapa naik antara RM2.20 hingga RM2.50.

Harga ikan masih kekal pada harga biasa sebelum Ramadan tetapi hanya ikan tongkol naik harga daripada RM6 ke RM 7 begitu juga dengan ikan sardin naik daripada RM 6 ke RM8.

Peniaga, Husni Sudar berkata, permintaan ikan tidak begitu tinggi berbanding ayam dan daging lembu kerana itulah harga jarang melambung tinggi.

"Tidak kiralah Ramadan atau tidak harga ikan masih sama tetapi untuk ikan tongkol dan sardin harga akan naik pada Ramadan kerana ramai peniaga bazar Ramadan memerlukan dua ikan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:53 PM