Halim Said dan Mohd Fahmi Mohd Yusof


KERAJAAN negeri Johor hari ini memutuskan untuk memberi peruntukan RM50,000 setahun kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, selepas mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bersidang buat kali pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri membuat ketetapan untuk menghapuskan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bagi pemilikan rumah di Johor yang menjadi satu daripada janji 100 hari PH negeri.

“Mesyuarat MMK negeri bersetuju memberikan RM50,000 peruntukan kepada setiap ADUN termasuk pembangkang bagi memastikan perkhidmatan lebih berkesan dapat diberikan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Sempena Ramadan yang mulia ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengagihkan sejumlah RM993,600 bagi semua 2,762 surau dan masjid di dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan MMK negeri di Iskandar Puteri, hari ini.

Osman berkata, setiap masjid akan menerima RM500, manakala surau menerima RM300 dan jumlah bantuan itu boleh ditingkatkan mengikut kesesuaian kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.

MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian ketika sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bersidang buat kali pertama hari ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian ketika sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang bersidang buat kali pertama hari ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan. FOTO Mohd Azren Jamaludin

“Tanpa mengenepikan mana-mana kaum, kerajaan negeri komited dan akan memperhalusi bentuk sumbangan boleh disalurkan kepada masyarakat Cina, India dan lain-lain sama ada dari aspek pendidikan, pembangunan komuniti dan sebagainya.

“Selepas meneliti kewangan semasa negeri, saya ingin memaklumkan bahawa keutamaan pentadbiran pada ketika ini adalah terhadap bantuan serta kebajikan rakyat bersifat segera pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

Osman berkata, beliau sudah membuat penegasan kepada jentera kerajaan negeri untuk memberi fokus 100 peratus terhadap pelaksanaan 10 tawaran 100 hari PH Johor seperti dijanjikan.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti dan memperhalusi ketelusan pemilihan bagi pemilikan rumah di Johor.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai ADUN setiap kawasan bagi meneliti ketelusan pemilihan pemilikan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:44 PM