GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini


POLIS memohon bantuan orang ramai bagi mengesan penunggang motosikal yang dipercayai cedera selepas dilanggar lari kereta dipandu seorang wanita di susur keluar Jambatan Pulau Pinang dari arah Georgetown menghala Bukit Mertajam, 6.20 petang kelmarin.

Aksi pemandu wanita yang memandu dalam keadaan berbahaya itu berjaya dirakam 'dashcam' pemandu kereta lain sebelum tular di media sosial, semalam.

Berdasarkan rakaman itu, kereta wanita berkenaan menyelit masuk ke laluan utama dari kawasan hentian selepas jambatan sebelum merempuh penunggang motosikal dari arah kanan sehingga mangsa tercampak ke atas jalan.

Wanita berkenaan tidak berhenti sebaliknya melarikan diri ke arah Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa gagal dikesan selepas polis hanya menerima laporan dibuat saksi kejadian pada 2 petang tadi.

"Dengan bantuan orang ramai, polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kereta suspek dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penunggang motosikal menghubungi pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan nombor pendaftaran kereta, ia milik kepada seorang wanita berusia 22 tahun, beralamat di Taman Sri Kijang, Bukit Mertajam," katanya.

Menurutnya, polis akan menyiasat kejadian dan mengambil keterangan daripada mangsa dan pemandu kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 5:08 PM