Mohamed Basyir


BARISAN Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Pulau Pinang boleh ditukar sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian pada masa hadapan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ketua eksekutif yang dilantik mempunyai kuasa menukar barisan EXCO jika terdapat keperluan di dalam sistem berparlimen dan kabinet,.

Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan berbuat demikian ketika ini, tetapi barisan EXCO negeri yang baharu dilantik akan dipantau prestasi mereka dari semasa ke semasa.

“Jika ada keperluan pertukaran boleh dibuat, tetapi saya bukan kata ia diperlukan sekarang.

“Lebih baik kita fokus kepada EXCO yang sudah dilantik, kita akan lihat dan pantau prestasi mereka,” katanya pada sidang media selepas meninjau Lebuh Campbell di Georgetown, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR negeri mempertikai pembahagian jawatan EXCO Pulau Pinang yang dianggap tidak mencerminkan kedudukan parti apabila barisannya dikuasai DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin dipetik berkata, DAP yang menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat jawatan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri II dan enam EXCO.

PKR yang menang 14 kerusi DUN hanya mendapat jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan dua EXCO, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masing-masing menang dua kerusi tidak mendapat sebarang jawatan EXCO.

Kon Yeow berkata, pihaknya sedia maklum isu yang dibangkitkan Norlela, namun mempertahankan kaedah pembahagian jawatan yang sudah digunapakai sejak 10 tahun lalu.

“Kaedah pembahagian ini adalah bagi meneruskan ‘status quo’ yang diterapkan pada barisan EXCO yang sudah dilaksanakan sejak dua penggal lalu.

“Barisan EXCO sudah dilantik dan lebih baik kita fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat yang memilih kita pada 9 Mei lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 3:18 PM